Category FAQs Search : Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)
Question: Apakah sebelas (11) intipati yang terdapat dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)?
Answer: Berikut merupakan 11 Perkara yang menjadi intipati perjanjian ini:
Perkara 1: Menyatakan bahawasanya Borneo Utara dan Sarawak, dan Singapura akan disekutukan dengan Persekutuan Tanah Melayu dan dikenali sebagai Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura mengikut surat cara Perlembagaan yang dilampirkan pada surat perjanjian dengan penamaan Persekutuan dengan nama “Malaysia”;
Perkara 2: Menyatakan mengenai kewajipan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk menggubal Perlembagaan melalui Parlimen Persekutuan dengan memastikan surat cara Perlembagaan yang dilampirkan akan menjadi suatu Akta untuk dipatuhi di dalam Perlembagaan yang digubal dan akan berkuatkuasa pada 31 Ogos 1963 dan tarikh ini akan dikenali sebagai “Hari Malaysia” (tarikh ini kemudian berubah kepada 16 September 1963 disebabkan oleh beberapa hal).
Perkara 3: Menyatakan mengenai tanggungjawab kerajaan United Kingdom untuk menyerahkan kepada Queen, perintah-perintah untuk membolehkan Perlembagaan negeri-negeri Sabah, Sarawak dan Singapura berkuatkuasa mengikut lampiran-lampiran perlembagaan setiap negeri tersebut yang dilampirkan bersama-sama surat perjanjian.
Perkara 4: Menyatakan mengenai kewajipan Kerajaan United Kingdom untuk mendapatkan penggubalan satu Akta di Parlimen United Kingdom bagi membolehkan perlepasan hak kedaulatan oleh Queen ke atas Borneo Utara, Sarawak dan Singapura, bermula pada “Hari Malaysia” dan diserahkan kuasa itu mengikut Perjanjian dan lampiran-lampirannya.
Perkara 5: Menyatakan mengenai kewajipan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk mendapatkan penggubalan Akta oleh Parlimen bagi meminda skop imigresen untuk kemasukan ke Sabah dan Sarawak serta peruntukan-peruntukan khas seperti lampiran yang tertentu yang dilampirkan bersama-sama Perjanjian ini akan tertakluk kepada penggubalan Akta tersebut.
Perkara 6: Menyatakan mengenai Perjanjian Pertahanan Luar dan Bantuan Bersama antara Persekutuan Tanah Melayu dan United Kingdom pada 1957, kini akan diperluaskan bagi semua wilayah “Malaysia” serta kebenaran untuk United Kingdom terus menggunakan pangkalan-pangkalan tentera sedia ada, terutamanya di Singapura, seperti mana dalam lampiran di dalam Perjanjian ini.
Perkara 7: Menyatakan mengenai persetujuan bagi membolehkan Queen membuat perintah mengenai pembayaran saguhati kepada para pegawai dalam perkhidmatan awam yang berkhidmat, terutama di North Borneo dan Sarawak sebelum Hari Malaysia. Selain itu, ia turut menyentuh mengenai Perjanjian Pegawai Awam yang harus ditandatangani oleh Kerajaan United Kingdom dan Kerajaan Malaysia. Kerajaan Malaysia juga hendaklah memperoleh persetujuan daripada Kerajaan Sabah, Sarawak atau Singapura sebelum menandatangan perjanjian itu.
Perkara 8: Menyatakan mengenai tanggungjawab Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara dan Sarawak untuk mengambil tindakan bagi melaksanakan segala syor, jaminan dan aku janji yang terdapat di dalam Bab III dan Lampiran A dan Lampiran B Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan yang ditandatangani pada 27 Februari 1963 selagi mana ia tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 9: Menyatakan mengenai keperluan menjadikan Lampiran J yang berkenaan dengan Pasaran Bersama dan perkiraan kewangan di dalam perjanjian ini dijadikan sebagai Perjanjian antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan Singapura.
Perkara 10: Menyatakan mengenai keperluan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan Singapura dalam menjalankan kuasa-kuasa yang ada berkenaan siaran radio dan televisyen seperti mana termaktub di dalam Lampiran K di dalam Perjanjian ini selagi ia tidak dilaksanakan melalui Perlembagaan Malaysia.
Perkara 11: Menyatakan mengenai keperluan Perjanjian ini ditandatangani di dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sahaja manakala setiap lampirannya hanyalah di dalam Bahasa Inggeris. Jika kekeliruan berlaku, maka naskhah Bahasa Inggeris akan digunakan sebagai tafsiran yang sah.
Sumber: Portal Rasmi Pejabat Perdana Menteri
Sinar Harian (https://www.sinarharian.com.my/article/241422/berita/nasional/ma63-perjanjian-harus-dipegang-mesti-ditunaikan—pm)
(Source: Portal Rasmi Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, 04 May 2025)
Source Link: https://bhess.jpm.gov.my/index.php/perjanjian-ma63/