Browse e-KNOWBASE

Category FAQs Search : State Planning Unit (Unit Perancang Negeri)

Question: Sejarah Penubuhan

Answer: Seksyen Perancangan Ekonomi, Pejabat Kewangan Negeri diangkat sebagai sebuah Unit secara rasminya pada 6 Mac 1972 dan dinamakan sebagai Unit Perancang Negeri atau State Planning Unit (SPU). SPU diletakkan dibawah bidangkuasa Jabatan Ketua Menteri. Penubuhan SPU adalah untuk memastikan perancangan dan pembangunan negeri Sarawak dilaksanakan dengan lebih berkesan dan terancang.

1983 Pada 1 Januari 1983, SPU dan SDO telah disatukan di bawah Jabatan Pembangunan Negeri. Penyatuan ini dilihat dapat mengukuhkan dan memesatkan pembangunan sosio-ekonomi Negeri Sarawak serta meningkatkan peranan jabatan dari segi perancangan pembangunan sosio-ekonomi dan keberkesanan pemantauan dan penilaian (M&E). Penggabungan ini juga adalah selaras dengan struktur yang digunapakai di peringkat Kerajaan Persekutuan di mana Unit Perancang Ekonomi (UPE) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (UPP) telah disatukan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

1992 Pelaksanaan Skim Sistem Saraan Baru (SSB) yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 1992 telah membawa satu lagi perubahan kepada SPU. SPU dikeluarkan daripada Jabatan Pembangunan Negeri dan diletakkan semula di bawah Jabatan Ketua Menteri sepertimana pada awal penubuhannya.

2000 Sejajar dengan kemajuan dan perkembangan pesat pembangunan sosio-ekonomi Negeri Sarawak, SPU kini berperanan sebagai Agensi Pusat Perancangan Negeri. SPU memberi tumpuan kepada perancangan dan pelaksanaan dasar dan strategi bagi memastikan Negeri Sarawak mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Penstrukturan pengurusan Jabatan Ketua Menteri yang dilaksanakan pada bulan Disember 2000 menyaksikan SPU, Unit Pelaksanaan dan Pemantauan Negeri (SIMU) dan Unit Projek Khas (SprU) diletakkan khas di bawah penyeliaan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Perancangan dan Pembangunan).

2007 Penyusunan semula struktur pengurusan Jabatan Ketua Menteri yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2007 menyaksikan SPU, SIMU, Unit Perancangan Sumber Manusia (SHRP) dan Unit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICTU) diletakkan di bawah penyeliaan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak.

2009 Pada Oktober 2009, SHRP telah digabungkan dengan SPU.

(Source: Sarawak Planning Unit (Unit Perancang Negeri), 13 Apr 2020)

Source Link: https://jkm.sarawak.gov.my/SPU/page-0-231-144-tid.html