Browse e-KNOWBASE

Category FAQs Search : Majlis Perbandaran Samarahan

Question: Latar Belakang Majlis Perbandaran Samarahan

Answer: Pada awalnya, Daerah Samarahan bermula sebagai daerah kecil yang terletak di bawah Daerah Kuching. Kemudiannya, Majlis Daerah Samarahan (MDS) diwartakan sebagai sebuah Majlis Tempatan di Sarawak di bawah peruntukan Local Authorities Ordinance Cap. 117 pada 1 Januari 1985. MDS merupakan satu badan yang bergelar Pihak Berkuasa Tempatan, tertakluk di bawah bidangkuasa Kementerian Perumahan Negara Dan Kerajaan Tempatan. MDS melaksanakan kuasa yang diberikan di bawah Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan dan berkuasa menggubal undang-undang (Local Authority By-Law) di bawah kawasan jagaannya. Penduduk tempatan adalah tertakluk di bawah jagaan Pihak Berkuasa Tempatan.




MDS terletak di Daerah Samarahan yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Bandaraya Kuching. Majlis Perbandaran Kota Samarahan telah diwartakan pada 27 Disember 1984 dan melaksanakan kuasa untuk mentadbir kawasan-kawasan di bawah jagaannya bermula pada 1 Januari 1985. Kawasan yang terletak di bawah kawalan MDS termasuklah Daerah Kecil Asajaya dan Daerah Sadong Jaya. Dalam tempoh kira-kira 10 tahun sahaja, banyak pembangunan dan kemajuan yang telah dapat dicapai kesan daripada usaha daripada Pihak Berkuasa Tempatan, Agensi-agensi Kerajaan dan penglibatan masyarakat setempat dalam melakukan perubahan sedemikian rupa.




Kini, wawasan kerajaan ialah supaya Bahagian Samarahan menjadi pusat penyelidikan dan pengajian di negeri ini yang seterusnya menjadi pusat pendidikan yang bertaraf antarabangsa. Ini dapat dilihat melalui beberapa jenis pembinaan pusat pendidikan, latihan dan penyelidikan seperti (Kampus Tetap) Universiti Malaysia Sarawak ,Universiti Teknologi Mara (UITM), Institut Perguruan Tun Abdul Razak, Institut Latihan Perindustrian Samarahan (ILP), Taman Teknologi Sarawak, dan Pusat Perubatan Antarabangsa Sarawak (SIMC). Kesemuanya ini pada suatu hari nanti akan menjadikan Samarahan sebagai salah satu pusat kecemerlangan dalam bidang pendidikan, latihan dan penyelidikan yang pesat di Malaysia.




Daerah Samarahan mempunyai keluasan 593.9 kilometer persegi dengan bilangan penduduk sejumlah 63581 orang (Banci Penduduk Tahun 2000). Jumlah penduduk ini termasuklah daripada Samarahan dan Asajaya. Rupa bentuk muka bumi di Daerah Samarahan adalah rata dan kebanyakkannya terdiri daripada tanah pamah atau gambut. Keadaan tanah seperti inilah yang sesuai untuk menjalankan kegiatan pertanian dan di sinilah projek IADP dijalankan. Antara komoditi yang dihasilkan ialah tanaman limau manis, kelapa, kelapa sawit dan nanas. Terdapat juga tanaman kontan yang popular iaitu padi sawah, tembikai, jagung manis dan sayur-sayuran.




Namun begitu terdapat juga kawasan perindustrian (Samarahan Industrial Zone) yang terletak bersebelahan Kampung Tanjung Bundong. Keluasan Zon Perindustrian Samarahan ialah seluas 62.213 hektar.

(Source: Laman Web Rasmi Majlis Perbandaran Samarahan, 19 Feb 2021)

Source Link: https://mpks.sarawak.gov.my/page-0-58-28-Latar-Belakang.html