Browse e-KNOWBASE

Category FAQs Search : Hutan Hujan Tropika

Question: Apakah ciri-ciri Hutan Hujan Tropika?

Answer: Terdapat beberapa ciri yang unik mengenai hutan hujan tropika ini, antaranya ialah empat lapisan yang nyata. Lapisan teratas ialah renjung atau emergen yang terdiri daripada pokok-pokok yang sangat tinggi iaitu melebihi 40 meter. Pokok-pokok ini tumbuh tinggi untuk mendapatkan cahaya matahari yang mencukupi. Pokok-pokok ini tidak akan tumbang kerana akarnya ialah akar banir yang berfungsi untuk menahan pokok tersebut supaya tidak tumbang.

Seterusnya ialah lapisan kanopi dan pokok yang terdapat di lapisan ini ialah pokok yang tingginya kira-kira 20 hingga 40 meter. Pokok ini tumbuh dengan rapat dan menghalang daripada cahaya matahari untuk sampai ke dasar hutan. Di bawah kanopi terdapat lapisan tengah iaitu terdiri daripada pokok yang sederhana padat yang tumbuh kira-kira 10 hingga 20 meter. Tumbuhan yang terdapat di lapisan ini ialah epifit dan parasit.

Lapisan yang keempat, iaitu lapisan bawah atau dikenali sebagai lantai hutan terdiri daripada pokok-pokok yang ketinggiannya kurang dari 10 meter. Antara contoh tumbuhan yang ada di lapisan ini ialah, cendawan, pokok renek, semak samun dan pokok herba. Namun begitu, tumbuhan di lantai hutan ini kurang membiak disebabkan kurang mendapat cahaya matahari.

(Source: DIMENSi, 29 Mar 2021)

Source Link: https://sites.google.com/view/beritadimensi/environment/malay/hutan-khazanah-alam-malaysia