Browse e-KNOWBASE

Category FAQs Search : Dasar Ekonomi Baru

Question: Dasar ekonomi baharu untuk pastikan Melayu, Bumiputera lebih maju

Answer:
KUALA LUMPUR: Penggubalan dasar ekonomi Melayu baharu yang berteraskan pertumbuhan, menjamin kesaksamaan dan perkongsian kemakmuran, bertujuan memperbaiki keadaan bagi memastikan masyarakat Melayu dan Bumiputera lebih maju dan bersedia mendepani cabaran ekonomi semasa.


Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin, berkata ini kerana Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang sudah dilaksanakan sejak 50 tahun lalu belum mencapai sasaran.

Beliau menegaskan dengan masa yang semakin suntuk, dasar itu perlu dipercepatkan bagi memastikan lebih ramai golongan kurang bernasib baik dibantu, sekali gus berupaya menikmati kejayaan.

“Kesilapan lepas kita ketepikan, yang baik (DEB) kita ambil, kita mahu meningkatkan kemajuan supaya lebih ramai golongan kurang bernasib baik dapat menikmati kejayaan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi temubual eksklusif TV3 bersama pengacara Ally Iskandar yang disiarkan Malaysia Hari Ini (MHI) pagi tadi.


Pada bahagian pertama temubual berkenaan, Ally bertanyakan sama ada penggubalan dasar ekonomi Melayu baharu dilaksanakan seolah-olah DEB yang digerakkan sebelum ini gagal membantu Melayu dan Bumiputera.

Mengulas lanjut, Daim berkata dasar baharu itu juga bermatlamat untuk membantu golongan berpendapatan rendah dalam kalangan peneroka, pesawah, nelayan dan petani yang memerlukan bantuan.


Beliau berkata, untuk itu, kerajaan akan menggalakkan kaedah pertanian dan penternakan moden yang mampu menjana hasil lumayan selepas kaedah lama dilihat kurang berjaya.

Katanya, beliau yakin dengan kaedah pertanian moden, tiada lagi kelompok miskin dalam kalangan petani, penternak dan nelayan.

“Cara lama kita dah cuba, kurang berjaya, masih perlukan subsidi... sekarang era baharu, kita mahu cara moden supaya hasil bertambah, kalau dulu padi tiap tahun kena subsidi, harga tak turun juga, sebaliknya subsidi makin meningkat.

“Sekarang kita cari jalan untuk tambah nilai supaya hasil bertambah, golongan miskin kalau boleh nak hapuskan, kalau tanam padi cara lama sukar, hasil kurang,” katanya.

Daim memberi contoh kaedah penanaman padi secara moden di Sik, Kedah dan Sungai Buloh, Selangor yang berupaya meningkatkan hasil penanaman.

Di Sik, pesawah Melayu menanam padi dalam plastik yang setiap satunya berupaya menghasilkan setengah kilogram padi, manakala di Sungai Buloh, padi dapat dituai dalam tempoh 75 hari.

Beliau turut menekankan kepentingan menjalankan kajian dan penyelidikan dalam mempertingkatkan hasil pertanian dan penternakan.

Katanya, beliau mengakui sukar untuk golongan tua menerima idea dan inovasi, namun yakin mereka akan turut serta selepas melihat kejayaan yang kebanyakannya diasaskan kelompok belia yang terpelajar.

“Kita tidak perlu memaksa mana-mana pihak untuk beralih daripada cara kerja dan budaya lama, sebaliknya apabila mereka melihat kejayaan dan hasil meningkat, mesti mereka akan turut dan tertarik.

“Dulu mungkin kita ingat orang Melayu tak suka, tetapi sekarang sudah ramai kerana mereka ini kelulusan universiti, mereka sanggup belajar memperbaiki keadaan,” katanya.

Ditanya sama ada kaedah pertanian moden akan memberi impak negatif terutama mengurangkan tenaga kerja, Daim berkata ketika ini negara dibanjiri pekerja asing dan jumlah mereka perlu dikurangkan.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan untuk menggubal satu dasar ekonomi Melayu baharu yang berteraskan pertumbuhan, menjamin kesaksamaan dan perkongsian kemakmuran, bagi mendepani cabaran ekonomi semasa.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dilaporkan berkata dasar itu akan mencerakinkan semangat inklusiviti dan nilai keadilan yang akan menyumbang kepada kekayaan untuk dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia berkonsepkan ‘shared prosperity’ (perkongsian kemakmuran).

Beliau berkata dalam menerajui usaha ke arah pemodenan ekonomi berasaskan teknologi terkini dan berdepan cabaran Revolusi Industri 4.0, kementeriannya akan memulakan siri perbincangan dan libat urus bersama pemegang taruh utama dalam sektor ekonomi negara seperti dewan perniagaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO) serta pakar ekonomi.

(Source: Pustaka Negeri Sarawak, 23 Jun 2021)

Source Link: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/03/545101/dasar-ekonomi-baharu-untuk-pastikan-melayu-bumiputera-lebih-maju-daim