Browse e-KNOWBASE

Category FAQs Search : Lembaga Tabung Haji Sarawak

Question: Apakah Latar Belakang Lembaga Tabung Haji Sarawak?

Answer: Sebelum penubuhan Lembaga Tabung Haji, tiada institusi kewangan Islam yang dapat memberi perkhidmatan kepada umat Islam di Malaysia untuk menyimpan wang bagi menanggung kos perbelanjaan menunaikan haji. Walaupun ketika itu sudah wujud beberapa buah bank, umat Islam di negara ini enggan menabung dengan perbankan konvensional untuk tujuan mengerjakan ibadat haji kerana mereka mahu memastikan tabungan mereka bebas dari sebarang unsur dan amalan riba agar haji yang diperoleh merupakan Haji Mabrur.

Idea bagi penubuhan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji (PWSBH) tercetus hasil cadangan tokoh ekonomi Melayu terkenal iaitu Profesor DiRaja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid pada Disember 1959 kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Langkah pertama ke arah itu diambil dengan penubuhan PWSBH di bawah Undang-undang No. 34, 1962, pada tahun 1963. Perbadanan itu adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Mulai 30 September 1963, PWSBH melakar sejarah dengan membuka kaunter menerima tabungan daripada bakal haji. Umat Islam Malaysia mula dididik untuk membuat tabungan sejak usia untuk membuat tabungan dengan organisasi patuh syariah sebagai persiapan menunaikan haji.

Ketika mula beroperasi pada 1963, seramai 1,281 bakal haji telah membuka akaun mereka dengan jumlah tabungan sebanyak RM46,610. Tujuan utama mereka adalah semata-mata untuk memastikan simpanan mereka terjamin selamat dan bebas daripada riba untuk membolehkan mereka melengkapkan Rukun Islam dan memperoleh Haji Mabrur. Pada masa itu, tiada sama sekali niat untuk meraih bonus atau dividen.

Keyakinan yang dipamerkan para bakal haji ini menjadi pendorong kepada PWSBH untuk terus menambah baik perkhidmatan demi memenuhi salah satu fardu kifayah. Sejak itu, PWSBH terus berusaha untuk menarik lebih ramai umat Islam menggunakan kemudahan menabung yang disediakan oleh kerajaan bagi memastikan simpanan mereka selamat dan halal.

Pada tahun 1969, bagi memantapkan lagi peranannya dan memudahkan penyelarasan aktiviti penabungan serta pengurusan haji yang semakin berkembang, PWSBH telah digabungkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang telah ditubuhkan dalam tahun 1951 dan beroperasi di Pulau Pinang. Badan yang digabungkan ini dinamakan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH), yang kemudiannya ditukar kepada Lembaga Tabung Haji pada 1995 atau dikenali dengan singkatannya Tabung Haji atau TH sehingga kini.

Dengan penubuhan TH, urusan ibadat haji umat Islam negara ini menjadi lebih mudah dan teratur. Malah, bagi mereka yang pertama kali ke Tanah Suci pun tidak perlu bimbang kerana TH mengurus semua keperluan mereka termasuk urusan berkaitan pasport, visa haji, pengangkutan, penginapan di Makkah, Madinah, Mina dan Arafah serta penjagaan kesihatan dan bimbingan ibadat haji.

(Source: Lembaga Tabung Haji Sarawak, 17 Jan 2023)

Source Link: https://www.tabunghaji.gov.my/ms/korporat/informasi-korporat/tentang-kami