EN | BM

Laman Rasmi Pustaka Negeri Sarawak

Baca.Reka.Cemerlang

"World Quran Hour 2019" sasar 1 billion capaian di media sosial

Ditulis pada 29 May 2019

KUCHING: Pustaka Negeri Sarawak, Rumah Ngaji, Majlis Islam Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak bekerjasama untuk mencapai sasaran 1 billion capaian di media sosial bagi "World Quran Hour 2019" yang akan diadakan di Pustaka Negeri Sarawak pada 30 Mei ini bermula jam 10 pagi.

Menurut kenyataan media kelmarin, pihak penganjur berharap World Quran Hour 2019 dapat dilaksanakan di 100 buah negara sebagai satu permulaan untuk melakukan perubahan kerangka fikir melalui QTT (Quran, Tadabur, Tazakkur), mengambil nilai-nilai daripada Al-Quran sehingga lahir akhlak sebagai muslim sejati.

"Gerakan#QuranHour telah bermula pada tahun 2015 di bawah Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF), program satu jam bersama Al-Quran.

"Capaian media sosial telah mencapai 646 juta pada tahun 2018 berbanding 87 juta capaian pada tahun 2016.

"Matlamat utama ialah untuk menginspirasi dan mengajak jutaan manusia untuk berinteraksi dengan Al-Quran sekurang-kurangnya satu jam sehari secara berterusan,' kata penganjur kelmarin.

Satu jam siaran akan dikhususkan untuk mendengar alunan ayat suci Al-Quran dan suara-suara wacana Al-Quran.

Kempen tersebut adalah Islah dengan Al-Quran bagi individu, keluarga dan komuniti secara keseluruhannya.

Ia juga bertujuan menggalakkan setiap individu membaca, memahami dan mengamalkan nilai-nilai yang terdapat dalam Al-Quran, selain mewujudkan kerangka fikir Al-Quran dan sistem pengendalian dalam jiwa dan akhirnya mempraktikkan nilai-nilai Al-Quran dalam akhlak mereka.

Beberapa aktiviti menarik akan diadakan sepanjang minggu tersebut antaranya Bengkel Khat, Bengkel "We Love Arabic", Bestnya Belajar Ngaji" dan Bengkel Mudahnya Tajwid.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Razak Rambili di talian 082-442000 sambungan 348 atau e-mel ke razakr@sarawak.gov.my.