Tidak seperti buku lain dari siri I`m a backpacker , buku ini adalah catatan pengalaman penulis seorang wanita rakyat Malaysia yang bermastautin di Amerika Syarikat mengikut suaminya yang merupakan rakyat Amerika. Beliau dan suaminya mengambil masa dua tahun dan satu bulan untuk mengelilingi Amerika Syarikat dengan jarak pemanduan sepanjang 80,500 kilometer dengan menggunakan kereta Jeep Grand Cherokee keluaran tahun 2012.
Secara ringkasnya buku ini mencatatkan berkenaan dengan pengalaman penulis sepanjang road trip beliau ke seluruh Amerika Syarikat, ditambah dengan maklumat bagaimana cara memohon Visa ke Amerika Syarikat dan tip travel umum dan tip fotografi. Maklumat ringkas berkenaan setiap negeri di Amerika Syarikat yang dibahagi kepada The West, Midwest, Southwest, Southeast dan Northeast juga ada dalam bab Apa itu Amerika Syarikat?
Gaya penulisan yang santai, mudah difahami dan penggunaan campuran perkataan bahasa Melayu dan English memudahkan dan mampu menarik minat pembaca untuk memiliki dan memahami apa yang cuba penulis sampaikan.