EN | BM
Sarawak State Government crest - Official crest of the Sarawak government Pustaka Sarawak logo - Pustaka Negeri Sarawak library logo

Laman Rasmi Pustaka Negeri Sarawak

Baca.Reka.Cemerlang

Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran

image description
Call no.
: JMF 899.2333 AIN
Penulis
: Ainun Marziah Isa
Penyumbang
: Zuraidah Binti Mat
Ringkasan
Buku ini mengisahkan bagaimana seorang suami dan bapa kepada empat orang anak dan juga merupakan seorang kakitangan awam yang telah terpedaya dengan perniagaan jualan langsung. Ini adalah gara-gara daripada sikapnya sendiri yang tidak pernah bersyukur dengan apa yang ada. Rosman adalah seorang kerani di salah sebuah pejabat kerajaan di tempatnya. Hidupnya tidaklah senang tetapi tidaklah susah sangat. Cukup sekadar memenuhi keperluan harian mereka sekeluarga. Isterinya tidak bekerja. Hanya seorang suri rumah tangga sepenuh masa. Merasakan yang hidupnya tidak kaya-kaya walau pun telah lama bekerja di jabatan kerajaan, Rosman selalu memarahi nasib diri dan isterinya dan sesiapa juga yang boleh menimbulkan kemarahan di hatinya. Ini termasuklah bos baru di pejabatnya sekarang yang dirasakannya mengancam statusnya sebagai seorang ketua kerani di sana. Bos barunya itu baru sahaja ditugaskan di sana di mana tempat Rosman bekerja sekarang. Bosnya itu mempunyai ijazah tetapi tidak ada padanya. Dirinya hanyalah pekerja biasa yang hanya berkelulusan SPM sahaja. Setiap kali ditegur oleh bosnya itu, dia segera naik angin kerana walau pun dirinya hanyalah pekerja lepasan SPM dan bosnya itu pula pemegang ijazah, baginya bosnya itu terlalu baru bekerja. Belum pun sampai setahun. Pertemuannya dengan Hamdan, kawan lamanya sewaktu di sekolah dahulu telah mengubahnya. Perangai pemarahnya itu semakin menjadi-jadi. Hamdan telah mengajaknya bersama-sama terlibat dalam urusniaga jualan langsung sepertinya. Melihatkan keadaan Hamdan yang hidup senang lenang dan menggunakan kereta mewah yang tiada padanya membuatkan dirinya bersetuju dengan cadangan Hamdan. Dia nekad untuk berhenti kerja. Teguran bosnya pada pagi itu terhadapnya telah menaikkan darahnya dan terus berhenti kerja serta-merta. Isterinya tidak dapat berkata apa-apa lagi walau pun tidak bersetuju akan perbuatannya itu. Setelah lebih sebulan dia menjalankan jualan langsung namun gaji yang ditunggunya itu yang pernah dijanjikan oleh Hamdan tidak kunjung tiba membuatkan dirinya rasa tertipu. Pagi itu dia pergi ke pejabat Hamdan seperti cadangan isterinya. Hamdan pernah membawanya ke situ untuk menjadi ahli jualan langsung dengan membayar yuran keahlian sebanyak RM5000.00. Itipun dia menggunakan wang kecemasan keluarganya. Dia terkejut apabila dilihat pejabat itu kosong dan tidak seperti yang pernah dimasukinya dahulu bersama-sama Hamdan. Semakin lama semakin ramai orang ke situ. Rupa-rupanya kesemua mereka telah ditipu oleh Hamdan termasuklah sepupu Hamdan sendiri yang telah termakan tipu daya Hamdan. Rosman pengsan. Di hospital, isteri dan empat orang anaknya berada di tepi katilnya. Dia tersedar. Dia meminta maaf kepada isterinya kerana tidak mendengar nasihat isterinya itu malah menengkingnya dengan sekuat hatinya. Isterinya memaafkannya. Jawatan lama yang telah ditinggalkannya dahulu sememangnya sudah diisi oleh orang lain manakala jualan langsung yang dilakukannya kini hanya sindiket penipuan semata-mata. Dirinya insaf akan sikapnya yang tidak pernah bersyukur itu. Hidupnya kini ibarat seperti “Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Peristiwa itu biarlah menjadi pengajaran buatnya di masa akan datang. Selepas ini akan bermulalah lagi kisah baru dalam hidupnya.