EN | BM
Sarawak State Government crest - Official crest of the Sarawak government Pustaka Sarawak logo - Pustaka Negeri Sarawak library logo

Laman Rasmi Pustaka Negeri Sarawak

Baca.Reka.Cemerlang

ALGOJO

image description
Call no.
: 899.2333
Penulis
: SRI RAHAYU MOHD YUSOP
Penyumbang
: Joponimilina Anak Lisen
Ringkasan
ALGOJO karya Sri Rahayu Mohd Yusop ini menawarkan sesuatu yang benar-benar mendebarkan. Ceritanya bermula dengan dua watak utama, Badriya dan Mateen, yang baru sahaja menamatkan latihan di Akademi PASAK (Pasukan Sekuriti Anggota Kerajaan). Mereka ditugaskan menjadi pengawal peribadi kepada para menteri kabinet. Tugasan pertama mereka nampak seperti rutin biasa, tetapi tidak lama sebelum semuanya berubah menjadi permainan maut yang penuh dengan konspirasi dan rahsia yang membara di belakang tabir. YB Ahmad Siddiq, Menteri Alam Sekitar dan Teknologi Hijab yang baru dilantik selepas pilihan raya, berada di bawah perlindungan Badriya. Satu kejadian mengejutkan apabila Ahmad Siddiq diserang semasa siaran langsung rancangan bual bicara oleh teman lelaki hos terkenal, Zehra Matthews. Badriya berjaya mengawal keadaan, tetapi insiden ini mengubah dinamik keselamatan, memaksa pihak PASAK untuk memasukkan Mateen ke dalam pasukan sebagai sokongan tambahan. Di tengah kesibukan politik, Ahmad Siddiq menemui satu rahsia besar yang berbahaya, penyelewengan dana kerajaan bernilai RM 1 bilion yang melibatkan YB Khir Jauhary, bekas menteri yang berkuasa. Dengan prinsip integriti yang dipegang erat, dan hubungan eratnya dengan Badriya yang sering mengingatkannya tentang pentingnya kebenaran, Ahmad Siddiq memutuskan untuk bertindak. Namun, keputusan itu mengundang musuh yang lebih berbahaya daripada yang mereka sangkakan. Khir Jauhary, yang risau rahsia kotor dan skandalnya akan terbongkar, mengupah ALGOJO, satu organisasi pembunuh upahan yang terkenal dengan reputasi kejam dan efisien. Badriya dan Mateen, yang pada mulanya hanya melindungi nyawa seorang menteri, kini mendapati diri mereka terperangkap dalam kancah pembunuhan terancang, konspirasi politik, dan jaringan kuasa gelap yang lebih besar dari apa yang mereka mampu tangani. Ketika satu kemalangan tragis menimpa pasukan mereka, segala-galanya berubah. Badriya dan Mateen sedar bahawa ancaman yang mereka hadapi bukan sekadar serangan fizikal, tetapi satu permainan politik dan kuasa yang menjerat nyawa mereka dalam sebuah konflik yang lebih besar dan lebih dalam daripada yang dijangka. Sebagai pembaca setia Fixi, novel ini menawarkan elemen-elemen yang menjadikan karya Fixi begitu digemari—jalan cerita yang mendebarkan, watak-watak yang kompleks, dan rahsia yang terurai dengan penuh kejutan. ALGOJO menggabungkan aksi pantas dengan permainan kuasa yang mendalam, membuatkan kita tertanya-tanya, siapa yang boleh dipercayai dalam dunia di mana wang dan kuasa sentiasa mengancam nyawa? Setiap halaman membuatkan jantung berdegup lebih laju, menjadikannya sukar untuk diletakkan sebelum tamat.