EN | BM

Laman Rasmi Pustaka Negeri Sarawak

Baca.Reka.Cemerlang

Ditulis pada 11 June 2012

Kuching-Pada 28 Februari 2012 yang lepas, Pustaka Negeri Sarawak telah menganjurkan ceramah kesihatan bertajuk “Alergi di Kalangan Kanak-Kanak” yang disampaikan oleh Dr Alex Lu Yieng Lung dari Normah Medical Specialist Centre.

Ceramah kesihatan ini diadakan di Auditorium, Tingkat 1, Pustaka Negeri Sarawak. Dr Alex Lu secara ringkasnya telah mengupas mengenai masalah alergi yang menyerang kanak-kanak. Lazimnya kanak-kanak berusia satu tahun hingga lima tahun lebih cenderung untuk diserang masalah alergi.

Dalam kebanyakan kes simptom-simptom dapat dilihat di tiga bahagian tubuh iaitu gastrousus, respiratori dan kulit. Kebiasaanya kanak-kanak akan mengalami simptom di bahagian gastrousus dan kulit. Reaksi alergi bermula apabila seseorang dengan sistem imun hipersensitif terdedah kepada alergen yang boleh jadi hama debu yang ditemui di rumah, rumput, pokok, debunga, haiwan kesayangan, lipas, kulapuk, habuk dan lain-lain.

Secara fizikal kesan ini dapat dilihat apabila mereka yang terbabit mula bersin berulang kali, mengalami hidung berair dan berasa gatal di hidung dan mata. Simptom ini boleh bertambah buruk jika tiada tindakan diambil. Selepas beberapa jam mereka yang terbabit mungkin mengalami hidung tersumbat, mata membengkak, rasa letih, tidak dapat mengawal perasaan atau mengalami gangguan tidur.

Oleh itu, ibu bapa harus mengambil langkah penjagaan yang dinasihatkan oleh doktor. Pastikan persekitaran anak anda bersesuaian dengan tahap kesihatan mereka. Sesi ceramah pada petang tersebut dilanjutkan dengan sesi soal jawab diantara peserta yang hadir dan penceramah.