EN | BM

Laman Rasmi Pustaka Negeri Sarawak

Baca.Reka.Cemerlang

Pustaka Negeri Sarawak Adakan Sambutan Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit 2016

Ditulis pada 22 April 2016

Kuching – Bersempena dengan Sambutan Hari Buku & Hakcipta Sedunia 2016, Pustaka Negeri Sarawak akan mengadakan program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit 2016 pada hari Isnin, 25 April 2016  bertempat di Auditorium, Pustaka Negeri Sarawak. 


Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit ini merupakan program kali ke-3 diadakan di seluruh Malaysia. Program ini telah bermula pada tahun 2014 dan ianya merupakan salah satu langkah untuk membentuk masyarakat ke arah minat membaca walaupun dalam tempoh yang singkat iaitu selama 10 minit sahaja. Ia juga merupakan satu sumbangan daripada perpustakaan awam negeri bersama-sama kerajaan ke arah meningkatkan tabiat atau budaya membaca di kalangan masyarakat. 

Pada tahun 2015, program yang sama telah diadakan julung kalinya dan dengan jayanya melalui kerjasama dan penglibatan dari semua ahli-ahli Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM), Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri, Perpustakaan Negara Malaysia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak, jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan dan bukan badan kerajaan, sekolah, universiti, sektor swasta dan masyarakat awam. 

Pada tahun ini, kesemua perpustakaan awam negeri akan sekali lagi menganjurkan dan turut serta melaksanakannya secara serentak pada hari Isnin, 25 April 2016 pada jam 11:00 hingga 11:10 pagi.  Pada hari tersebut semua peserta tanpa mengira apa jua pekerjaan atau aktiviti yang sedang dilakukan untuk sama-sama berhenti sebentar dan serentak membaca selama 10 minit.

Orang awam yang ingin menyertai program ini boleh menghantar gambar membaca dengan menaip #lanbaca2016 di laman sosial Facebook, Twitter ataupun Instagram masing-masing. 

Untuk makluman lanjut, hubungi Japri Bujang Masli atau Edison Ricket di talian 082-442000 atau emel japribm@sarawak.gov.my / edisonr@sarawak.gov.my  atau layari laman web rasmi Pustaka Negeri Sarawak www.pustaka-sarawak.com, Facebook: pustaka.sarawak, Twitter dan Instagram : pustakaswk.