EN | BM

Laman Rasmi Pustaka Negeri Sarawak

Baca.Reka.Cemerlang

Usaha MEASAT sedia perkhidmatan NJOI di perpustakaan desa disambut baik

Ditulis pada 28 October 2016

SIBURAN: Pustaka Negeri Sarawak menyambut baik usaha MEASAT bagi penyediaan perkhidmatan televisyen satelit NJOI sebagai nilai tambahan kepada perkhidmatan WiFi Komuniti di perpustakaan desa di negeri ini.

Pengurusi Pustaka Negeri Sarawak Tan Sri Datur Amar Dr Hamid Bugo berkata, perkhidmatan itu bukan hanya menyediakan rancangan hiburan tetapi juga membekalkan maklumat serta program pembelajaran kepada penduduk di kawasan tersebut.

Saya difahamkan bahawa pihak MEASAT akan membekalkan perkhidmatan ini kepada 16 Perpustakaan Desa Persekutuan dan perancangan juga sedang dibuat bagi meluaskan perkhidmatan yang sama kepada 69 lagi perpustakaan desa dibawah pihak berkuasa tempatan di Sarawak.

Besarlah harapan saya agar perkhidmatan ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat di sini bagi mempertingkatkan pengetahuan mereka serta untuk mengikuti perkembangan isu semasa dari dalam dan luar negara, katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibaca Ahli Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak Dr Abdul Rahman Deen pada Program Tanggungjawab Sosial Perpustakaan Desa Duranda Mas, Batu 18 Jalan Kuching Serian di sini.

Selain itu, Hamid memberitahu bahawa ilmu pengetahuan sememangnya penting untuk masyarakat yang merupakan prasyarat yang akan menentukan kejayaan seseorang.

Maka dengan penyediaan sumber maklumat yang lebih mudah ini saya berharap agar pengguna perpustakaan di sini dan masyarakat setempat menggunakannya bagi mempertingkatkan pencapaian masing-masing, tambahnya.

Justeru, beliau berharap usaha yang dilakukan MEASAT menjadi contoh kepada syarikat korporat lain dalam membantu masyarakat khususnya di pinggir dan luar bandar.

Hadir sama Pengurus Besar MEASAT Satellite Systems Sdn.Bhd Datuk Syaiful Hazan Nawawi, Ketua Pegawai Komersil MEASAT Yau Chyong Lim, Pengarah Pembangunan, Bahagian Koordinasi Wilayah Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia Roszeta Kassim, Ahli Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Dr Rita Manurung dan wakil Perpustakaan Negara Siti Aishah.