EN | BM

Laman Rasmi Pustaka Negeri Sarawak

Baca.Reka.Cemerlang

S'wak miliki pelbagai maklumat

Ditulis pada 01 November 2016

KUCHING: Kepelbagaian maklumat Karnival Sarawakiana 2016 merupakan kekuatan untuk mencapai "Knowledge Tourism" melalui pendokumentasian.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg berkata sarawak merupakan negeri yang cukup bertuah kerana mempunyai pelbagai maklumat berkaitan adat resam, budaya yang berwarna-warni, amalan yang unik dan istimewa yang lahir daripada masyarakat berbilang kaum.

"Maklumat yang didokumentasikan ini merupakan tarikan utama kepada para pengkaji, baik dari dalam dan luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penangguhan Karnival Sarawakiana 2016 di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak disini, semalam.

Johari yang juga Menteri Pelancongan, kesenian dan Kebudayaan Sarawak berkata, negeri ini mempunyai banyak persamaan dalam kepelbagaian, namun adalah lebih baik sekiranya kita bersama-sama mengembleng usaha untuk memperbanyakkan penyelidikan dan penerokaan ilmu terhadap khazanah ini.

"Umum mengetahui keringkam bukan hanya sahaja terdapat di Sarawak, tetapi ia juga boleh didapati di India, semenanjung dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, katanya alangkah lebih baik jika kita bekerjasama berganding bahu untuk mengkaji mengenainya demi melestari persamaan khazanah yang kita miliki.

"Usaha-usaha Pustaka Negeri Sarawak dalam mengadakan Karnival Sarawakiana ini amatlah membanggakan dan saya amat mengharapkan orang ramai terutama generasi muda akan mengambil kesempatan ini untuk  mengetahui dengan lebih lanjut mengenai warisan budaya tempatan kita sendiri," ujarnya.

Sehubungan itu, tambahnya, kita harus menggunakan sumber-sumber maklumat yang tersedia dan program yang diadakan sebagai satu nilai tambah dalam pembelajaran sepanjang hayat kepada semua masyarakat dalam menerokai ilmu seluas yang mungkin.

"Oleh itu, maklumat sejagat mengenai Sarawak atau Sarawakiana haruslah diberi sokongan padu oleh pelbagai pihak dan golongan masyarakat kerana kita percaya sebagai sebuah Perpustakaan Negeri, Pustaka Negeri Sarawak tidak dapat bergerak , bekerja secara bersendirian tetapi memerlukan komitmen pelbagai pihak untuk melahirkan gedung ilmu yang berlandaskan warisan budaya tempatan 
yang unik serta masyarakat yang berbudaya membaca dan berpengetahuan," tegasnya.

Karnival Sarawakiana di Pustaka Negeri Sarawak telah berlangsung 29 Oktober lalu dan berakhir semalam.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo serta Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Rashidah Bolhassan.