EN | BM

Laman Rasmi Pustaka Negeri Sarawak

Baca.Reka.Cemerlang

DUABELAS PASUKAN BAKAL BERENTAP DI PERTANDINGAN BERMUKUN KARNIVAL SARAWAKIANA 2017

Ditulis pada 03 May 2017

Sebanyak duabelas (12) pasukan akan bersaing untuk bergelar juara Pertandingan Bermukun yang merupakan salah satu acara kemuncak bagi Karnival Sarawakiana 2017 anjuran Pustaka Negeri Sarawak, Miri.

Mereka bakal berentap Jumaat ini (5 Mei 2017) dalam peringkat saringan bagi menentukan tempat untuk peringkat akhir yang akan diadakan keesokan harinya.
‘Bermukun’ adalah persembahan tradisional Melayu Sarawak yang unik dengan acara ‘bertandak’ atau menari sambil berjual-beli pantun dengan ‘mak gendang’. Ia sering diadakan semasa acara-acara istimewa seperti majlis perkahwinan dan keramaian di kampong-kampung.

Tahun ini akan menyaksikan dua (2) kategori dipertandingkan iaitu Dewasa dan Remaja (18 tahun dan ke bawah). Bagi kategori dewasa, seramai empat (4) orang peserta bagi setiap pasukan akan melakukan ‘bertandak’ dan ‘bergendang’ manakala kategori remaja yang terdiri daripada dua (2) orang peserta hanya perlu ‘bertandak’ sambil berjual-beli pantun dengan ‘mak gendang’ yang telah ditetapkan.

Orang ramai dijemput hadir menyaksikan acara ini terutamanya generasi muda supaya mendapat pendedahan dengan persembahan tradisional turun-temurun Sarawak.

Bagi carnival tersebut pula, ia diadakan untuk kali keempat bermula 5 sehingga 7 Mei 2017 dengan kerjasama pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) bersempena sambutan Hari Bandaraya Miri Ke-12 dan Pesta Mei Miri 2017.

Karnival yang bertujuan untuk memberi pendedahan terutamanya generasi muda kepada adat dan budaya suku kaum di Bumi Kenyalang ini akan diadakan selama tiga (3) hari berturut-turut bermula seawal pukul 8:00 pagi bertempat di dalam dan perkarangan Pustaka.

Pelbagai aktiviti telah dirancang untuk dijalankan sepanjang karnival termasuk Pameran ‘Memori Bandaraya Miri’. Pameran & Jualan Kraftangan Sarawak, Bengkel Membuat Kuih Tradisional Sarawak: Celorot & Serabei, Demonstrasi Baram Sape Master, Sejarah Lisan: Nyanyian Tekna’ dan Demonstrasi Masakan Tradisional Suku Kaum Sarawak.

Selain Pertandingan Bermukun, beberapa pertandingan juga akan diadakan iaitu Pertandingan Nyanyian Tradisional Tekna’ Kayan, Pertandingan Bakat Tradisional Remaja, Pertandingan Permainan Mensia Marek dan Pertandingan Memasak & Gubahan Masakan Tradisional Sarawak.

Sepanjang karnival juga akan diadakan Gerai Jualan Pelbagai yang akan diusahakan oleh sekitar 20 orang pengusaha industri kecil dan sederhana.
Majlis pelancaran karnival akan diadakan pada Sabtu, 6 Mei 2017 dan dijangka akan dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N73 Piasau Dato’ Sebastian Ting. Acara kemuncak semasa majlis pelancaran tersebut adalah Peringkat Akhir Pertandingan Bermukun 2017.

Orang ramai dijemput hadir ke karnival ini kerana aktiviti-aktiviti yang diadakan adalah terbuka kepada semua lapisan masyarakat. Masuk adalah PERCUMA.
Karnival Sarawakiana yang pertama di Bandaraya Miri telah diadakan enam (6) tahun lepas iaitu 2011 dan telah dikunjungi oleh lebih kurang 3,000 orang manakala carnival tahun lepas (2016) telah menarik lebih 4,000 orang pengunjung dari sekitar bahagian Miri, Bintulu, Limbang, Lawas, Labuan dan Negara Brunei Darussalam.

Sesiapa yang berminat untuk turut serta atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi pihak penganjur di talian 085-422525 (Ahmad Samsudin / Awang Yunos Awang Husain) atau layari laman sesawang www.pustaka-sarawak.com dan media sosial (Facebook pustaka.sarawak | Instagram pustakaswk) untuk maklumat terkini.

tamat///