12 Jun 2025, KUCHING – Pustaka Negeri Sarawak sekali lagi menunjukkan komitmennya dalam mempromosikan budaya ilmu dan bahan bacaan berkualiti apabila turut serta memeriahkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. Acara yang berlangsung dari 23 Mei hingga 1 Jun 2025 ini berjaya menarik anggaran lebih 4,000 pengunjung ke reruai Pustaka Negeri Sarawak sepanjang tempoh penganjuran.
Pada edisi kali ini, Pustaka Negeri Sarawak telah bekerjasama secara strategik dengan Kolej Universiti i-CATS sebagai rakan sinergi, sekaligus memperkukuh hubungan antara institusi dalam mempromosi penerbitan ilmiah dan karya tempatan. Kolaborasi ini turut menyumbang kepada kepelbagaian program dan aktiviti yang dianjurkan sepanjang pameran.
Antara program utama yang dianjurkan di reruai Pustaka termasuklah Hari Bersama Pelanggan, sesi pendaftaran keahlian Pustaka, serta kuiz sempena ulang tahun ke-25 penubuhan Pustaka Negeri Sarawak. Selain itu, pengunjung juga berpeluang mendapatkan bahan terbitan terbaharu Pustaka, menyertai sesi pertemuan bersama penulis tempatan (Meet & Greet), penjualan karya penulis dari Sarawak, dan menyaksikan pelbagai aktiviti interaktif yang disediakan.
Pustaka turut merakamkan penghargaan kepada barisan penulis tempatan Sarawak yang turut serta memeriahkan reruai menerusi sesi Bicara Karya dan Meet & Greet. Antara penulis yang terlibat termasuk Daut Bujang, Clement Langet Sabang, Abang Median Abang Said, Cassandra Eva Lau, SNS Jong Chian Lai, Basri Abdillah, Ja’afar Haji Hamdan, SNS Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi, Mary Ann Vaz, Hipani Alwi, Tey Marzuki, Malcolm Mejin, Khairul Mahyuddin Areni dan Nur Azshieldha Sahran. Kehadiran mereka telah menyuntik semangat dan suasana yang meriah serta memberi peluang kepada pengunjung untuk lebih mengenali karya tempatan secara dekat.
Sesi perbincangan karya dan pengacaraan turut dimeriahkan dengan kehadiran personaliti DJ Sonic dan Sherry Alhadad sebagai moderator, menjadikan acara lebih santai dan menarik minat pelbagai lapisan pengunjung.
Melalui penyertaan dalam acara seperti PBAKL dan penganjuran program seperti PBAKL 2025, Pustaka Negeri Sarawak terus menunjukkan usaha berterusan dalam memperkukuhkan budaya membaca dan menghargai karya tempatan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Sarawak Bookfair 2025
Sehubungan itu, sebagai usaha berterusan dalam menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat, Pustaka Negeri Sarawak sekali lagi akan menganjurkan Sarawak Bookfair 2025 yang bakal berlangsung dari 27 September hingga 5 Oktober 2025 di The Hills, Kuching.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan acara ini.
Knowledge Camp 2025 21 Jun 2025
Blood Donation Drive, Pustaka Miri 21 Jun 2025
Community Talk : Speak with Confidence, Impress with Stories ( Miri) 21 Jun 2025
International Archives Week 2025 23 Jun 2025
(SIBU) Borneo Cultural Festival 2025 03 Jul 2025