EN | BM
Sarawak State Government crest - Official crest of the Sarawak government Pustaka Sarawak logo - Pustaka Negeri Sarawak library logo

Laman Rasmi Pustaka Negeri Sarawak

Baca.Reka.Cemerlang

World #QURANHOUR 1447H di Pustaka Miri: membentuk manusia sebelum membina dunia

Ditulis pada 03 March 2026

MIRI – Orang ramai dijemput hadir ke Auditorium, Pustaka Negeri Sarawak, Miri bagi menyertai program World #QuranHour 1447H yang akan berlangsung pada Rabu, 11 Mac 2026 bersamaan 21 Ramadan 1447H, bermula jam 9.00 pagi.

Program anjuran Pustaka Negeri Sarawak, Miri ini diadakan bersempena inisiatif global World #QuranHour yang bertujuan mengajak masyarakat menghidupkan Al-Quran dalam kehidupan seharian dengan memberi penekanan kepada aspek pembacaan, pemahaman dan penghayatan ayat-ayat suci Al-Quran.

Bagi edisi tahun ini, surah yang akan diketengahkan ialah Surah Al-Muzzammil yang membawa mesej tentang kekuatan jiwa, kesabaran serta kebergantungan kepada Allah dalam menghadapi cabaran kehidupan. Mengangkat tema “Membentuk manusia sebelum membina dunia”, program ini menyeru masyarakat agar berhenti sejenak daripada kesibukan dunia dan kembali menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup serta sumber kekuatan rohani. Peserta akan meluangkan masa selama satu jam untuk membaca, memahami dan mentadabbur ayat-ayat Al-Quran secara bersama.

Majlis ini akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Timbalan Datuk Bandar, Bandaraya Miri, Tuan Ariffin Bin Mohamad sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasakan nilai-nilai murni serta pembinaan masyarakat yang berteraskan Al-Quran.

Antara objektif penganjuran program ini adalah untuk menekankan kepentingan masyarakat berinteraksi dengan Al-Quran melalui tiga aspek utama iaitu membaca, memahami dan mengamalkan ajaran yang terkandung di dalamnya. Selain itu, program ini juga bertujuan menggarap nilai-nilai murni daripada surah-surah dalam Al-Quran bagi membangun negara dan dunia yang berlandaskan ajaran wahyu. Usaha ini diharapkan dapat melahirkan legasi yang memiliki sistem operasi diri berteraskan Al-Quran dalam membentuk masyarakat yang berbudi dan penyayang.

Selain program utama pada 11 Mac, beberapa aktiviti sampingan turut dianjurkan bagi menyemarakkan lagi sambutan World #QuranHour di Pustaka Miri. Pada Isnin, 9 Mac 2026, Pertandingan Khat akan diadakan di Lobi, Aras 1 dari jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang. Pertandingan ini terbuka kepada pelajar sekolah rendah di sekitar Miri.
Pada hari kedua menuju sambutan, iaitu pada hari Selasa, 10 Mac 2026, Pertandingan Azan 2026 akan berlangsung di Auditorium, Pustaka Negeri Sarawak, Miri dari jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang. Pertandingan ini terbuka kepada pelajar lelaki sekolah menengah beragama Islam yang berdaftar dan belajar di Daerah Miri. Program ini bertujuan mencungkil bakat, membina keyakinan diri serta menyemai keberanian dalam kalangan pelajar untuk menyeru ke arah kebaikan melalui laungan azan.

Turut dianjurkan ialah Bengkel Seronoknya Jawi, sebuah bengkel interaktif yang bertujuan meningkatkan kemahiran serta menyemai kecintaan terhadap tulisan Jawi. Bengkel ini membuka perspektif baharu tentang keindahan tulisan Jawi dan peranannya dalam membentuk jati diri serta jiwa ummah, selari dengan semangat World #QuranHour dan bengkel ini adalah terbuka kepada semua lapisan masyarakat yang ingin belajar menulis tulisan jawi.

Penyertaan bagi World #QuranHour juga boleh diikuti secara dalam talian bagi memberi peluang kepada lebih ramai untuk bersama-sama menghidupkan satu jam bersama Al-Quran.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pustaka Negeri Sarawak, Miri di talian 085-422 525 atau melayari media sosial rasmi mereka.

Pautan Berkaitan

-