EN | MY

Sarawak State Library

Read.Innovate.Excel

Program kerjasama Pustaka, JPN mampu perkasa budaya membaca.

Posted on 17 February 2015

KUCHING: Pustaka Negeri Sarawak dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN)
mengadakan mesyuarat merangka beberapa program kerjasama dalam usaha
berterusan membudayakan tabiat membaca dalam kalangan masyarakat.

Pelbagai
program dipersetujui semasa mesyuarat bersama Ketua Pegawai Eksekutif
Pustaka Negeri Sarawak (Pustaka), Rashidah Bolhassan bersama Pengarah
Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Serina Sauni.

Antara
kerjasama dua hala yang dicapai ialah penganjuran bengkel latihan
perpustakaan sekolah, kelas literasi maklumat termasuk penggunaan
pangkalan data atas talian sebagai kemudahan rujukan serta kaji selidik.

Menurut
kenyataan semalam, setiap sekolah akan didedah mengenai kepentingan
kesedaran penyerahan bahan terbitan seperti majalah tahunan sekolah
kepada Repositori Rekod Negeri termasuk penyertaan ahli Rakan Pustaka
dan Rakan Arkib.

Bagi menarik minat pelajar ke perpustakaan,
pelbagai program dan aktiviti seperti sesi literasi maklumat, promosi
keahlian perpustakaan dan program lawatan ke Pustaka akan diadakan.

Pada
masa sama, bagi meningkatkan koleksi bahan Sarawakiana di Pustaka, JPNS
bersetuju menghantar tesis, projek kaji selidik dan artikel kepada
Pustaka Negeri Sarawak.

Antara kerjasama kemuncak ialah Program
Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit sempena sambutan Hari Buku dan Hakcipta
Sedunia yang bakal diadakan pada 22 April 2015 melibatkan penyertaan
seluruh sekolah Sarawak.

Tambahnya, tahun lepas adalah julung kali
didakan Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit dengan kerjasama Majlis
Pengarah Perpustakaan Awam Negeri Malaysia, Perpustakaan Negara
Malaysia, Kerajaan Negeri, jabatan kerajaan dan bukan badan kerajaan,
sekolah, universiti, sektor swasta dan orang awam.