EN | MY

Sarawak State Library

Read.Innovate.Excel

Peruntukan bina bangunan arkib sudah dilulus

Posted on 16 November 2016

KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) sudah meluluskan peruntukan bagi rancangan sebuah bangunan arkib yang akan dibina secara khusus.

Demikian kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Adat Bumiputera dan Penan) Datuk John Sikie Tayai malam kelmarin.

Tambahnya, kerajaan amat memerlukan kewujudan arkib, yang  akan bertindak sebagai sebuah memori kepada negeri Sarawak.

“Ia akan menjadi sebuah sumber maklumat saintifik dan kebudayaan yang penting dan alat bagi kerajaan untuk merancang masa depan dengan bijak, berdasarkan kesedaran tentang pengalaman pada masa lalu.

“Paling penting, arkib ini adalah sumber rekod sejarah yang dapat membantu kita memahami diri kita dengan lebih baik dan membantu mewujudkan rasa identiti di kalangan kita, identiti Sarawak yang unik.

“Rekod yang dipindahkan ke Pustaka Negeri Sarawak menyediakan prisma bagi generasi akan datang untuk memahami dan belajar daripada tindakan dan keputusan kita itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena ‘Records and Archives Seminar 2016’ malam kelmarin.

Jelas beliau, menambah baik pengurusan rekod akan menambah baik prestasi, ketelusan dan akauntabiliti dengan mendokumenkan tindakan dan keputusan sesebuah agensi dengan lebih baik lagi.

Pengurusan rekod yang moden juga akan membantu kerajaan mengoptimumkan kos bagi operasi yang berkesan dan cekap. Pihaknya juga telah merancang menyediakan pegawai rekod yang berkelayakan di semua jabatan dan agensi bagi tujuan tersebut.

Beliau pada masa yang sama menjelaskan lagi, sebagai Depositori Kerajaan, Pustaka Negeri Sarawak mempunyai peranan sebagai pengemudi untuk menangani keperluan program pengurusan rekod yang baik, selain menawarkan strategi bagi memastikan integriti rekod-rekod konvensional dan elektronik.

Usaha itu tegasnya, harus dibuat untuk menangani perubahan yang konsisten dalam teknologi untuk memastikan akses berterusan kepada rekod elektronik, sekarang dan pada masa depan.

“Agensi dan jabatan kerajaan mesti bertekad untuk bekerjasama dengan Pustaka berhubung pengurusan rekod mereka.

“Arkib tiada tanpa rekod. Jika rekod tidak diselenggara, diproses, disimpan dengan elok, kita hilang sebahagian besar sejarah kita, pengetahuan tempatan kita dan warisan intelektual kita.

“Kerajaan Sarawak amat menyokong fungsi Pustaka, antaranya memastikan rekod dipelihara dengan baik dan mudah diakses untuk penyelidikan,” ujarnya.

Ia juga telah diperjelaskan dalam Ordinan Perpustakaan Negeri Sarawak yang menyatakan bahawa peranan Pustaka dalam menyimpan rekod awam yang mempunyai nilai-nilai sejarah atau arkib serta kertas, instrument dan dokumen lain serta status, perintah berkanun, peraturan atau dekri seperti yang diarahkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri untuk diselenggara, dipelihara dan disimpan dalam Depositori Kerajaan kerana kepentingan awamnya dan nilai sejarahnya.

Justeru beliau berharap seminar tersebut yang sudah berlangsung dan berakhir semalam memberi impak positif kepada peserta melalui platform untuk rangkaian, perkongsian pengetahuan dan perincian cabaran yang akan dihadapi dalam memperkenalkan pengurusan rekod untuk perkhidmatan awam di negeri ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Rashidah Bolhassan.