EN | MY

Sarawak State Library

Read.Innovate.Excel

Pengurusan arkib, rekod saluran kongsi maklumat, jaringan pengurusan rekod baik

Posted on 16 November 2016

KUCHING: Pengurusan arkib dan rekod dalam Jabatan Perkhidmatan Awam Sarawak amat penting sebagai saluran bagi sesi perkongsian maklumat serta jaringan pengurusan rekod awam yang lebih baik.

Demikian ujar Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani yang mahu kesedaran itu juga disebarkan dalam kalangan masyarakat bagi kemapanan warisan dan sejarah Sarawak.

“Saya pasti seminar ini telah menjadi wadah yang baik untuk bertukar idea bagi mencapai kesimpulan yang sewajarnya untuk menentukan perkembangan pengurusan arkib dan rekod pada masa depan negara ini, khususnya negeri Sarawak.

“Seminar dua hari ini amat penting kerana kertas-kertas kerja yang dibentangkan meliputi pelbagai topik, seperti amalan terbaik dalam pengurusan rekod, penyimpanan rekod pada zaman digital serta penggunaan rekod dan arkib serta keadilan dan 
advokasi.

“Beberapa kertas kerja tersebut telah disampaikan oleh orang yang merupakan pengamal pengurusan arkib dan rekod dalam organisasi masing-masing.

“Kita mesti memelihara rekod yang memenuhi keperluan undang-undang dan peraturan: rekod yang boleh dipercayai, tulen, dapat digunakan dan dapat menyediakan kekonsistenan, kesinambungan dan produktiviti dalam pengurusan dan pentadbiran,” katanya ketika berucap pada Majli Makan Malam sempena ‘Records and Archives Seminar 2016’ di sini malam kelmarin.

Ujar beliau pada  seminar sedemikian, peserta dapat mendengar kisah kejayaan pemain sebenar dan kita juga dapat tahu tentang cabaran yang dihadapi mereka.

Tambahnya kepentingan pengurusan arkib dan rekod, tidak kira bentuk atau media, adalah perkara yang amat membimbangkan semua orang dalam agensi kerajaan.

Dalam usaha kita menjadi perkhidmatan awam berkelas dunia, kita juga mesti memastikan rekod kita disimpan dalam keadaan yang melindungi mereka daripada semua ejen yang memudaratkan, jelasnya.

Justeru, perkongsian pengalaman dan pengetahuan penyimpanan arkib, perpustakaan, muzium antara peserta yang datang dari Malaysia, Australia, Korea Selatan, Brunei, Singapura dan Indonesia merupakan modul terbaik untuk difahami, dipelajari dan dilaksanakan di sini.

Cetusan idea untuk menganjurkan seminar timbul ekoran kesedaran Pustaka Negeri Sarawak sebagai sebuah arkib dan perpustakaan negeri.

“Pustaka Negeri Sarawak selama ini sentiasa mendukung amalan arkib dan pengurusan rekod yang baik dengan menyediakan bantuan sewajarnya dari segi dasar pengurusan rekod, panduan dan prosedur serta latihan berterusan bagi 
Jabatan Perkhidmatan Awam Sarawak,” katanya lagi.

Beliau mahu peserta daripada kalangan penjawat awam agar melaksanakan apa yang telah pelajari daripada seminar itu untuk mengamalkannya dan menurunkan ilmu tersebut kepada rakan-rakan sekerja yang lain.

Turut hadir Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Adat Bumiputera dan Penan) Datuk John Sikie Tayai mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Rashidah Bolhassan.