EN | MY

Sarawak State Library

Read.Innovate.Excel

Latih belia jadi pemimpin berbakat

Posted on 20 November 2016

Kuching: Program TEDx- Youth@Kenyalang mampu mlatih belia menjadi pemimpin masa depan yang berbakat, jelas Menteri Muda Solidariti, Rosey Yunus. `Program TEDx Youth@Kenyalang merupakan program yang dapat mengajar seseorang belia untuk terus belajar di luar bilik darjah sekali gus dapat mengetahui perkara yang berlaku di seluruh dunia,` katanya.

Beliau berkata demikian dalam perasmian Program TEDxYouth@Kenyalang di Pustaka 
Negeri Sarawak di sini, semalam.

Tambah Rosey, program seumpama ini amat baik kerana mampu mengubah belia yang ada di Sarawak untuk bersama-sama bekerjasama baik belia yang datang dari agensi kerajaan, swasta serta badan bukan kerajaan (NGO)

`Saya percaya bahawa, Ketua Menteri Sarawak bangga dengan apa yang telah kita lakukan ini kerana membawa para belia kepada perkara yang membawa kebaikan pada diri dan juga negeri Sarawak,` tambahnya.

Dalam pada itu, katanya, program ini akan menjadi salah satu program yang bakal diadakan setiap tahun serta berkolaborasi dengan agensi kerajaan, swasta dan NGO.

`Program ini tidak hanya berfokuskan di Kuching malah akan menjelajah ke Miri serta 
tempat lain ada tahun hadapan agar semua belia dapat bersam-sama merasai kepentingan program ini,` ujarnya.

Sementara itu, Program TEDxYouth@Kenyalang merupakan salah satu program yang julung kalinya diadakan di Kuching yang dianjurkan oleh Koperasi Belia Inovatif Sarawak (KOBIS) dengan kerjasama Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti (KBSS) bersempena dengan hari belia peringkat Negeri Sarawak 2016 dan juga World TEDxYouth Weekend yang diadakan serentak di seluruh dunia pada setiap hujung minggu ketiga bulan November setiap tahun.

Sehubungan itu, program kali ini bertemakan `Today for Tomorrow`, TEDxYouth@Kenyalang memaparkan penceramah yang terkenal iaitu Salihin Abang, Charles Liew dan Arif Azahari, pencetus inspirasi komuniti Sarah Lasung, Dr. Esther Michael dan juga pakar teknologi dari British Mark Smalley.

Justeru, berjalan serentak dengan ceramah kepimpinan belia yang menampilkan MyHarapan, iM4U, iM Sarawak, KOBIS, TEDxYouth@Kenyalang juga menampilkan  TEDxperience Gallery yang terdiri daripada pameran unik dan inovatif dari Universiti Swinburne, PPKS, Raw Kitchen, Urban SketchersKuching, Sape Star dan Word of Mouth Kuching. Turut hadir, Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Rashidah Bolhassan serta Pengerusi KOBIS, 
Zaiwin Kassim.