EN | MY

Sarawak State Library

Read.Innovate.Excel

Open today

Lahir generasi celik IT

Posted on 12 May 2019

GEDONG: SeDidik komited dalam memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta pendidikan awal kanak-kanak dan pembangunan keluarga.

Pengurus Besar SeDidik Sdn Bhd, Nor Ashikin Haji Abdul Rahman berkata, sehubungan dengan itu, pihak SeDidik telah menganjurkan Program Digital Library PUSTAKA@SeDidik yang ke-6.

"Program ini bukan sahaja memberi pendedahan mengenai ICT tetapi dalam masa yang sama mampu merapatkan jurang antara pihak SeDidik dengan penduduk di daerah Simunjan.

"Di samping itu, kami amat memberi penekanan terhadap penyampaian ilmu dalam setiap aktiviti yang kami laksanakan," katanya pada majlis perasmian program tersebut bertempat di Panggung Terbuka, Kampung Gedong, Simunjan baru-baru ini.

Selain itu, program yang diadakan serentak dengan Program Lan Berambeh Siri 1 2019 tersebut meriah dan berjaya menarik kira-kira 800 orang pengunjung di sekitar daerah Simunjan.

"Program Digital Library SeDidik Mutiara Gedong adalah merupakan kesinambungan kepada Program Digital Library SeDidik Mutiara Datu Hilir yang telah kita anjurkan di Sibu bulan Mac lalu.

"Manakala, program Lan Berambeh pula merupakan siri pertama untuk tahun ini dan ia bukan dilakukan semata-mata untuk mengadakan aktiviti yang berbentuk hiburan, namun apa yang lebih penting kepada merapatkan hubungan di antara kakitangan SeDidik dengan masyarakat setempat," tambahnya.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan untuk setiap peringkat termasuk kanak-kanak, ibu bapa serta golongan dewasa.

Antaranya adalah ceramah PANDei (People Accessible Network for Digital Empowerment & Inclusivity) yang telah disampaikan oleh kakitangan Pustaka Negeri Sarawak, pertandingan mewarna, pertandingan karaoke lagu 60an, pertandingan memasak dan pertandingan senam tari.

Di samping itu, pihak Pustaka Negeri Sarawak juga telah mengadakan aktiviti Makerspace: 3D Printing dan Drone for Beginners khas untuk para remaja dan belia.

Manakala di Tadika SeDidik Mutiara Gedong pula, berlangsungnya aktiviti bersama kanak-kanak yang turut dikendalikan oleh kakitangan Pustaka Negeri Sarawak.

Hadir merasmikan program tersebut adalah Pegawai Daerah Simunjan Abdul Khalid Manaf yang mewakili Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong Datuk Mohd Naroden Majais.

Dalam ucapan ringkasnya, Abdul Khalid mengucapkan terima kasih kepada SeDidik dan Pustaka Negeri Sarawak atas kesudian memilih Kampung Gedong sebagai destinasi ilmu dalam memberi pendedahan yang lebih meluas terhadap penggunaan teknologi ICT kepada warga Kampung Gedong.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli.