EN | MY

Sarawak State Library

Read.Innovate.Excel

Program Kasih Insani ceriakan masyarakat memerlukan

Posted on 24 May 2019

KUCHING: Bahagian Endowmen dan Wakaf, Universiti Malaysia Sarawak bekerjasama dengan Kelab Sukan dan Rekreasi, Pustaka Negeri Sarawak menganjurkan Program Kasih Insani merupakan program kebajikan untuk menggembirakan golongan asnaf dan mereka yang memerlukan sempena musim perayaan yang bakal tiba.

Seramai hampir 200 orang asnaf dan miskin bersama keluarga masing-masing daripada empat buah kampung di sekitar Petra Jaya iaitu Kampung Semariang Batu, Kampung Lintang, Kampung Sungai Bedil Besar dan Kampung Siol Kandis dijemput hadir.

Melalui program ini, setiap keluarga diagihkan pakej makanan percuma dan bebas memilih pakaian percuma, buku bacaan kanak-kanak, agihan bubur lambuk, duit raya kanak-kanak dan seterusnya berbuka puasa bersama-sama.

Di samping untuk berkongsi kegembiraan, majlis ini juga bertujuan untuk menjalinkan silaturahim di kalangan semua pihak yang terlibat.

Seramai 20 rakan filantropi UNIMAS telah menyumbangkan derma melalui Tabung Endowmen UNIMAS pada tahun lepas dan lima peratus daripada sumbangan mereka dimanfaatkan untuk menyediakan pakej makanan "Box of Love" kepada golongan miskin.

Antara penaja terlibat ialah UNIMAS Holdings Sdn. Bhd, Bank Islam Malaysia Berhad, Sarawak Energy Berhad, UNIMAS Business School, Harwood Timber, Farley (KS) Sdn Bhd, Kebajikan Dayang Fatimah Berhad, NAIM Holdings Berhad, Qasturie Offshore Engineering, J&J Services Trading Sdn Bhd, STIDC, Syarikat Takaful Malaysia Berhad, Masnita, Klinik Pakar Pergigian Anmas, Trident Quantum Sdn Bhd, Klinik Faisal, Transnational Insurance Brokers (M) Sdn Bhd, Konica Minolta Business Solutions (M) Sdn Bhd dan YKL & Y Enterprise.

Manakala melalui kempen "Sekampit Beras Sejuta Bahagia", Bahagian Endowmen dan Wakaf telah menerima derma hampir 300 kampit beras dan pelbagai makanan harian daripada staf, orang awam dan rakan industri termasuk Hong Leong Bank dan Kechara Soup Kitchen.

Pada tahun lepas Butik Kasih telah mengagihkan pakaian percuma kepada masyarakat sekitar Kota Samarahan. Maka tahun ini Butik Kasih berkongsi pula kegembiraan dengan masyarakat di sekitar Kuching melalui program Kasih Insani di Pustaka Negeri Sarawak.

Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Anak Numpang serta jemputan UNIMAS dan Pustaka Negeri.

Program Kasih Insani diakhiri dengan majlis berbuka puasa tajaan Pustaka Negeri Sarawak.

Seramai lebih 250 orang tetamu hadir menjayakan majlis termasuk Dr Rashidah Haji Bolhassan, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Haji Hamid Bugo, wakil-wakil penaja, Timbalan Naib Canselor UNIMAS, para dekan, pengarah serta pegawai dari UNIMAS dan Pustaka Negeri Sarawak.