EN | MY

Sarawak State Library

Read.Innovate.Excel

SIDANG MEDIA PROGRAM SARAWAK AUTHORS FESTIVAL 2020 OLEH DR RASHIDAH HAJI BOLHASSAN

Posted on 17 August 2020

PUSTAKA NEGERI SARAWAK MENGANJURKAN PROGRAM SARAWAK AUTHORS FESTIVAL 2020

KUCHING: Pustaka Negeri Sarawak sekali lagi akan menganjurkan Program Sarawak Authors Festival untuk kali yang ketiga bermula 27-29 Ogos 2020 dengan bertemakan Jiwa atau Soul. Tema tersebut dipilih bagi menekankan penjiwaan, penghayatan, emosi dan semangat dalam bidang penulisan.

Maksud Jiwa telah diterjemahkan oleh penulis Sarawak Haji Jais Sahok, (6 Ogos 2020), seperti di bawah:
“Dengan jiwa atau penjiwaan dalam penulisan, yang dimaksudkan ialah kegiatan penulisan dijiwai oleh pelakunya, iaitu penulis. Penjiwaan ialah pemberian jiwa atau roh dalam kegiatan penulisan itu. Dalam penjiwaan itu ada penghayatan ada rasa suka, ada desakan dalaman, ada kemahuan yang tinggi dan penuh rasa syukur setelah hasil diperoleh atau dijelmakan. Penjiwaan dan penghayatan bukan sahaja menggunakan ilmu pengetahuan sebaik-baiknya untuk tujuan yang dikenal pasti tetapi turut mengadun kegiatan itu dengan hati dan perasaan – emosi positif. Pemikiran yang dimaksudkan di sini ialah pemikiran aras tinggi (BAT)”.

Program Sarawak Authors Festival 2020 menjanjikan lapan belas (18) program dan aktiviti menarik yang akan diadakan menerusi norma baharu sesuai dengan keadaan semasa yang dialami kita pada hari ini. Program-program berasaskan atas talian dirancang khusus kepada golongan penulis dan penerbit tempatan melalui wacana intelektual, perkongsian ilmu pengetahuan serta pengalaman dalam penghasilan hasil karya mereka dan seterusnya diketengahkan kepada umum. Program-program yang diatur adalah dalam bentuk bengkel, ceramah, forum, perkongsian ilmu, seni persembahan, pameran, Book Fair dan sebagainya.

Objektif utama program-program ini adalah untuk menggalakkan kreativiti penulisan di kalangan penulis tempatan dalam memelihara khazanah penulisan di negeri Sarawak. Dengan penganjuran program sebegini, adalah diharapkan ia dapat memberi insipirasi dan memupuk minat masyarakat kepada pelbagai bidang penulisan.

Acara kemuncak adalah Hari Sambutan Penulis Sarawak (Authors Celebration Day) yang meraikan penulis-penulis dan penerbit-penerbit Sarawak. Acara pada Hari tersebut dimulakan dengan Amanat Khas daripada YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak seterusnya penyampaian Anugerah Khas penulis dan penerbit yang banyak menyerahkan karya penulisan mereka melalui Legal Deposit, Sarawak State Library Ordinance, 1999 dan acara Pelancaran Buku (Book Launch). Sebanyak 8 buah buku akan dilancarkan pada tahun ini.

Tidak lupa juga Pustaka ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua perwakilan Media dan mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan Sarawak Authors Festival 2020 ini.

Semua penulis, penerbit dan orang awam adalah dipelawa untuk menyertai pelbagai aktiviti kami secara atas talian dengan mendaftar di laman web rasmi iaitu https://www.pustakasarawak.com/apps/saf2020/index.php sepanjang tempoh festival dijalankan dari 27 hingga 29 Ogos 2020. Marilah kita bersama-sama meraikan para penulis berbakat di Sarawak.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Bahagian Sarawakiana, Sektor Perkhidmatan Depositori di talian 082-440488 atau e-mel ke statedepository@sarawak.gov.my.