EN | MY
Sarawak State Government crest - Official crest of the Sarawak government Pustaka Sarawak logo - Pustaka Negeri Sarawak library logo

Sarawak State Library

Read.Innovate.Excel

Pustaka Negeri Sarawak Perkasa Kesedaran MA63 Melalui Forum Arkib Antarabangsa

Posted on 23 June 2026

22 Jun 2026, KUCHING – Pustaka Negeri Sarawak telah berjaya menganjurkan Forum Minggu Arkib Antarabangsa 2026: Menelusuri Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak dengan sambutan yang amat menggalakkan daripada penjawat awam, pelajar, penyelidik, ahli akademik dan orang awam, kelmarin.

Forum tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Hajah Sharifah Hasidah Binti Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan).

Dalam ucapan perasmian beliau, YB Datuk Hajah Sharifah Hasidah menegaskan bahawa arkib merupakan sumber penting dalam memelihara fakta sejarah dan membuktikan hak rakyat serta negeri melalui rekod yang sahih, terpelihara dan boleh diakses oleh masyarakat.

Beliau turut menyatakan bahawa usaha memelihara serta menyediakan akses kepada rekod sejarah adalah penting bagi memastikan generasi masa kini dan akan datang terus memahami sejarah, hak dan tanggungjawab yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Sehubungan itu, beliau memuji inisiatif Pustaka Negeri Sarawak dalam memperkukuh kesedaran awam melalui pemeliharaan bahan arkib dan penganjuran program seperti forum ini.

Forum berkenaan menampilkan Yang Berhormat Datuk Hajah Sharifah Hasidah Binti Sayeed Aman Ghazali, Tuan Mohd. Adzrul Bin Adzlan, Peguam Kanan Negeri, Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak, dan Tuan Haji Japri Bujang Masli, Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak sebagai ahli panel, manakala sesi forum dikendalikan oleh Dr. Noorfadhleen Mahmud, Ketua Pusat Pengajian Sains Sosial dan Kemanusiaan, UiTM Cawangan Sarawak.

Perbincangan forum memberi fokus kepada sejarah dan latar belakang MA63, hak-hak Sarawak di bawah perjanjian tersebut, perkembangan semasa tuntutan MA63 serta kepentingan rekod dan arkib sebagai sumber rujukan yang sahih dalam memahami sejarah dan pembangunan negeri.

Turut hadir ialah Yang Berbahagia Datuk Dr. Abang Haji Abdul Rauf bin Abang Haji Zen, Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak, dan Yang Berhormat Dato Ir. Lo Khere Chiang, Ahli Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.13 Batu Kitang.

Penganjuran forum ini mencerminkan komitmen berterusan Pustaka Negeri Sarawak dalam memperkasakan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan arkib sebagai sumber rujukan sejarah, pemeliharaan memori kolektif dan dokumentasi warisan untuk generasi akan datang.

Related Link

https://www.facebook.com/photo/?fbid=1423939736436764&set=pcb.1423955979768473