EN | MY

Sarawak State Library

Read.Innovate.Excel

SAMBUTAN MINGGU ARKIB SEDUNIA 2020 PUSTAKA NEGERI SARAWAK 08 Jun – 14 Jun 2020

Posted on 05 June 2020

Tema Sambutan Minggu Arkib Sedunia atau International Archives Week (IAW) pada tahun ini adalah“Empowering Knowledge Societies” (Memperkasakan Masyarakat Berilmu) dan ia diguna pakai oleh institusi-institusi Arkib di seluruh dunia. Tema ini ditetapkan oleh International Council of Archives (ICA) selaku badan yang bertanggungjawab mewujudkan Sambutan Minggu Arkib Sedunia.

Pustaka Negeri Sarawak (Pustaka) juga tidak ketinggalan untuk bersama-sama menyambut Sambutan Minggu Arkib Sedunia. Pustaka mempunyai dua (2) fungsi utama iaitu sebagai sebuah Perpustakaan dan sebagai Repositori Rekod Negeri. Berfungsi sebagai Repositori Rekod Negeri, Pustaka bertanggungjawab dalam memperoleh dan memelihara rekod awam yang dipindah kekal ke Pustaka oleh jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Sarawak disamping mendapatkan bahan terbitan yang berkaitan dengan negeri Sarawak. Bersempena dengan sambutan ini, pelbagai inisiatif dan pengisian program telah dirancang dan akan dijalankan menggunakan platform atas talian.

Antara program yang akan dijalankan adalah pameran Perang COVID-19: Peranan Pustaka Dalam Komuniti berkaitan Perolehan Rekod Covid-19 oleh Pustaka Negeri Sarawak dari 8 hingga 14 Jun 2020. Pameran ini disertakan dengan soalan kuiz untuk dijawab oleh orang awam dan pelbagai hadiah menarik disediakan. Perolehan rekod Covid-19 ini adalah bertujuan untuk mengumpul bahan bernilai sejarah kepada Negeri Sarawak untuk tujuan simpanan kekal yang akan menjadi sumber rujukan kelak. Disamping itu, pameran ini turut diselitkan dengan inisiatif Pustaka Negeri Sarawak menyampaikan maklumat kepada komuniti sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perhimpunan Pegawai Rekod Jabatan dan Pegawai Seranta akan turut dijalankan menggunakan aplikasi webinar pada 9 Jun 2020 untuk semua Pegawai Rekod Jabatan dan Pegawai Seranta jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Sarawak. Pegawai Rekod Jabatan dan Pegawai Seranta adalah individu yang bertanggungjawab menguruskan rekod dan fail di jabatan masing-masing. Oleh yang demikian, sewaktu sesi perhimpunan secara maya ini penerangan mengenai peranan dan tanggungjawab sebagai Pegawai Rekod Jabatan dan Pegawai Seranta akan dikupas dengan lebih lanjut. Selain itu, makluman mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh Sektor Perkhidmatan Depositori dalam membantu menguruskan rekod dan fail di jabatan Kerajaan Negeri Sarawak juga akan diterangkan.

Program akan diteruskan dengan Bual Santai - Arkib Digital dan Perkongsian Maklumat Digital: Peranan Badan Arkib dan Perpustakaan (Digital Archives and Digital Knowledge Sharing: The Role of Archives and Library Instituitions) pada 10 Jun 2020 jam 10:00 pagi. Panel penceramah adalah Encik Chuah Kee Man, Timbalan Pengarah, Centre for Applied Learning and Multimedia, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan YBrs. Dr. Wan Alwi Mohd Yunus, Pensyarah Kanan dari Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana dan moderator bagi program ini adalah Encik Ali Rashid, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pusat Rujukan Malaysiana dan Luar Negara, Perpustakaan Negara Malaysia.


Program pada hari tersebut akan diteruskan dengan Program Preserving Memories! yang akan diadakan pada jam 2:00 petang. Program ini memuatkan dua sesi taklimat ringkas iaitu Taklimat Penyerahan Bahan Derma dan Wakaf oleh Bahagian Sarawakiana yang mempelawa orang awam untuk mewakafkan atau mendermakan koleksi peribadi yang mempunyai nilai sejarah kepada Negeri Sarawak untuk dijadikan koleksi Sarawakiana di Pustaka Negeri Sarawak. Seterusnya adalah Taklimat Penyerahan fail/dokumen 1963 oleh Bahagian Pengurusan Arkib yang menggalakkan orang awam dan jabatan kerajaan Negeri Sarawak untuk menyerahkan dokumen/rekod awam yang diwujudkan sebelum tahun 1963 yang berada di dalam simpanan mereka kepada Pustaka Negeri Sarawak secara sukarela.

Bengkel Pemuliharaan Ringkas Rekod Selepas Bencana juga akan diadakan menggunakan aplikasi webinar untuk Pegawai Rekod Jabatan dan Pegawai Seranta pada 11 dan 12 Jun 2020. Bengkel ini akan merangkumi sesi taklimat dan demonstrasi pemuliharaan ke atas rekod selepas bencana seperti banjir.

Selain itu, orang awam juga diseru untuk menyumbangkan dan berkongsi pengalaman melalui penulisan, karya kreatif, gambar atau rakaman video berkaitan pengalaman anda berdepan dengan penularan Covid-19 dengan menghubungi Pustaka Negeri Sarawak di e-mel statedepository@sarawak.gov.my atau memuat naik ke laman media sosial masing-masing menggunakan #sarawakcovid19story.

Untuk keterangan lanjut mengenai program sempena Sambutan Minggu Arkib Sedunia, sila berhubung dengan pegawai rujukan di Repositori Rekod Negeri di talian 082 – 440 488 atau e-mel statedepository@sarawak.gov.my.