SARAWAK KE ARAH PENGANGKUTAN LESTARI: PENGGUNAAN BAS HIDROGEN
Pustaka Negeri Sarawak (Pustaka) baru-baru ini mengadakan ceramah komuniti yang bertajuk ‘Sarawak Ke Arah Pengangkutan Lestari - Penggunaan Bas Hidrogen’.
Ceramah tersebut disampaikan oleh Encik Exquande Bin Hazmee yang merupakan Pengurus Operasi Bas Hidrogen, Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro).
Beliau memaklumkan bahawa Sarawak Metro telah diberi kepercayaan oleh Kerajaan Sarawak untuk memodenkan sistem pengangkutan awam di kawasan bandar utama.
Beliau juga menerangkan bahawa tujuan memperkenalkan perkhidmatan bas hidrogen di bandar raya Kuching adalah sebagai langkah ke arah penyahkarbonan (decarbonising) pengangkutan awam di Sarawak, selain meningkatkan kesedaran tentang manfaat penggunaan tenaga hijau seperti hidrogen, khususnya dalam sektor pengangkutan.
Perkhidmatan bas hidrogen di bandar raya Kuching telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg, pada 22 Januari 2020.
Perkhidmatan bas ini adalah percuma untuk penduduk tempatan dan pelancong, dan ia beroperasi dari 7.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari.
Kuching ialah bandar raya pertama di Asia Tenggara yang menawarkan perkhidmatan bas hidrogen dan operasi percubaan yang dilaksanakan sekarang adalah sebagai persediaan bagi Sarawak Metro untuk melaksana sistem ART di bawah Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Fokus utama bagi Sarawak Metro – sebuah anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) – adalah untuk menyediakan pengangkutan awam moden yang selamat, selesa dan mesra alam untuk kawasan-kawasan bandar di Sarawak.
Bagi mereka yang terlepas siaran langsung tersebut, boleh layari rakaman di saluran YouTube: https://youtu.be/527lJCFdWwA dan laman Facebook rasmi Pustaka di pautan https://www.facebook.com/pustaka.sarawak/videos/189750256609709/.
Sekiranya anda memerlukan maklumat lanjut, sila berhubung terus dengan pihak Pustaka di talian 082-442000 atau emel kepada librarian@sarawak.gov.my.
Pameran Sarawakiana: Menghayati Hari Sarawak 01 Jul 2026
Hari Bersama Pelanggan Pustaka Negeri Sarawak, Sibu 22 Aug 2026
Junior Innovate 2026 Maker Fair X Chumbaka Mid Year Open Day 22 Aug 2026
Borneo Cultural Festival 2026 (Sibu) 03 Sep 2026
Sarawak Children s Art & Literature Festival 2026 (Sibu) 05 Sep 2026