EN | BM

Laman Rasmi Pustaka Negeri Sarawak

Baca.Reka.Cemerlang

Pustaka Negeri Sarawak Anjur Bengkel Train The Trainer Program Literasi Orang Dewasa 2023

Ditulis pada 08 March 2023

8 Mac 2023, KUCHING - Pustaka Negeri Sarawak akan mengadakan Bengkel Train The Trainer Program Literasi Orang Dewasa yang akan diadakan pada 11 -12 Mac 2023 di Tanahmas Hotel, Sibu yang melibatkan staf dari Pustaka Negeri Sarawak (Kuching, Sibu dan Miri) serta sepuluh (10) penerima manfaat program terdiri dari penghuni Tempat Transit Gelandangan (TTG) Sibu.

Objektif program Literasi Orang Dewasa ini adalah untuk mengajar literasi membaca di kalangan komuniti yang memerlukan. Bagi pelaksanaan program, Pustaka Negeri Sarawak akan bekerjasama dengan Perpustakaan Awam, Perpustakaan Desa, Pusat Komuniti Digital serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi pelaksanaan program secara menyeluruh di Sarawak.

Program Literasi Golongan Dewasa ini merupakan perkhidmatan baharu Pustaka Negeri Sarawak yang bertujuan untuk meningkatkan tahap literasi untuk golongan dewasa di Sarawak yang berumur 15 tahun ke atas yang tidak boleh membaca dan menulis. Sebagai usaha untuk meningkatkan tahap literasi dan menyokong pembelajaran sepanjang hayat, pasukan Program Literasi Golongan Dewasa Pustaka Negeri Sarawak telah membangunkan modul yang khusus untuk memberi pembelajaran 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) dan juga membantu meningkapkan taraf hidup untuk golongan dewasa.

Dasar Galakan Membaca Perpustakaan Negara Malaysia, PNM/DS/17-P1 bertarikh 14 Mac 2013 menyarankan program galakan membaca yang terancang dan berterusan dilaksanakan di seluruh negara bagi memupuk minat membaca untuk menyokong pembelajaran sepanjang hayat ke arah mewujudkan masyarakat berbudaya membaca dan cintakan ilmu. Dasar Galakan Membaca ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membaca serta memupuk minat dan amalan membaca. Dengan itu, program literasi orang dewasa yang diterajui oleh Pustaka Negeri Sarawak ini dilihat sangat tepat untuk menyahut seruan ini.

Majlis penutupan Bengkel Literasi Train The Trainer Literasi Orang Dewasa ini akan disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Sarawak pada 12 Mac 2023 (2.30 petang) di Tanahmas Hotel, Sibu. Pada majlis tersebut juga, YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah akan melancarkan buku Panduan Aktiviti Literasi Orang Dewasa dan Blok Hurufku Sayang. Untuk makluman, buku Panduan Aktiviti Program Literasi Orang Dewasa dan Blok Hurufku Sayang yang dihasilkan oleh Pustaka Negeri Sarawak ini merupakan ‘home grown’ dan bersifat autentik dibina sebagai langkah untuk membasmi buta huruf dalam kalangan orang dewasa dan remaja di Sarawak ke arah meningkatkan kualiti hidup masyarakat. Menurut Annan (1997) “Literacy is a bridge from misery to hope”. Justeru itu, selain daripada bertujuan untuk menaikkan tahap literasi, aktiviti-aktiviti seperti literasi melalui membaca resipi yang dirancang juga dapat mengalakkan peserta menjadi usahawan bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Mengikut data UNESCO 2018:

“The global literacy rate for all people aged 15 and above is 86.3%. The global literacy rate for all males is 90.0%, and the rate for all females is 82.7%.”

Di Malaysia, mengikut Pejabat Ketua Perangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia, Malaysia (2017) literasi dalam kalangan lelaki adalah 97.2%, manakala dalam kalangan perempuan adalah 96.8 %.

Berdasarkan statistik dan kajian yang telah dilaksanakan, menunjukkan tahap iliterasi masih rendah, namun tidak wajar untuk kita tidak menangani masalah ini. Sehubungan dengan itu, program literasi orang dewasa diadakan oleh Pustaka Negeri Sarawak ini bukan sahaja untuk mengurangkan masalah iliterasi di Sarawak tetapi bertujuan juga untuk menyediakan peluang dan ruang pembelajaran sepanjang hayat. Program ini bagi memastikan orang dewasa boleh menyumbang dan mengambil bahagian dalam komuniti dan penting sekali untuk memastikan orang dewasa berasa lebih yakin dan dihormati oleh masyarakat.