EN | BM

Laman Rasmi Pustaka Negeri Sarawak

Baca.Reka.Cemerlang

PUSTAKA MIRI ANJUR KEMPEN DERMA DARAH KALI PERTAMA TAHUN INI

Ditulis pada 10 March 2023

MIRI- Pustaka Negeri Sarawak, Miri meneruskan lagi penganjuran program kemasyarakatan Kempen Derma Darah dan bagi suku tahunan pertama, ia akan diadakan pada Sabtu,11 Mac 2023.
Kempen kali ini dianjurkan dengan kerjasama Kesatuan Guru Sarawak Bahagian Miri, Persatuan Lakiput Sarawak, Persatuan Guru Bumiputera Sarawak, Majlis Pengakap Daerah Miri dan Tabung Darah Hospital Miri.
Ia akan diadakan di Ruang Legar Pustaka Miri bermula 9:00 pagi sehingga 12:00 tengahari.
“Menderma darah ini adalah satu amalan mulia yang boleh memupuk rasa tanggungjawab sosial serta memberi kesedaran tentang pentingnya menderma darah bagi membantu menyelamatkan nyawa orang lain sekaligus menyemai semangat kesukarelawan,” ujar Pegawai Pengurusan Korporat Pustaka Shirley Szebah Mambai, “menyedari perihal ini, program sebegini telah diadakan sejak Pustaka Miri dibuka pada tahun 2002.”
Penderma darah yang berjaya akan menerima kudapan serta cenderamata sebagai tanda penghargaan di atas sumbangan mereka. Selain itu, pelbagai aktiviti menarik disediakan bersempena kempen tersebut termasuk pameran,kaunter pendaftaran keahlian Pustaka serta jualan buku terbitan Pustaka pada harga istimewa. Setiap pendaftaran ahli Pustaka pada hari tersebut akan menerima cenderamata menarik.

“Oleh itu, jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk turut serta dalam aktiviti-aktiviti yang diadakan sepanjang program itu dianjurkan. Datanglah beramai-ramai bagi memeriahkan lagi kempen ini nanti,” ujar beliau lagi.
Kempen serupa yang telah berlangsung tahun lepas pada 12 November 2022 melihat seramai 51 penderma hadir dan sebanyak 41 beg darah berjaya dikumpul.
Tarikh kempen derma darah seterusnya yang telah dirancang adalah pada 20 Mei, 26 Ogos dan 25 November
Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai kempen ini, orang ramai boleh menghubungi Shirley Szebah Mambai di talian 085-422 525 atau e-mel shirleysm@sarawak.gov.my